Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di Komplek Mahkamah Kota Bharu, Kelantan 4 Ogos 2016

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman telah mengadakan mesyuarat bulanan Bilangan 8 Tahun 2016 di Bilik Mesyuarat, Kompleks Mahkamah Kota Bharu, Kelantan pada 4 Ogos 2016.

Sebelum mesyuarat berlangsung, program telah dimulakan dengan Majlis Perasmian Tapak Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang baharu di Tunjung pada pukul 8.45 pagi. Kompleks yang akan dibina di tapak seluas 2.68 hektar itu akan melibatkan peruntukan hampir RM100 juta dan dijangka siap pada April 2020. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAA Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara.

Program seterusnya bersambung dengan Taklimat dan Mesyuarat Pelantikan Kehakiman pada pukul 11.30 pagi. Taklimat telah diberikan oleh YA Tuan Ahmad bin Bache, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan Tuan Adli bin Abd. Ghalib, Pengarah Mahkamah Negeri Kelantan mengenai statistik penyelesaian kes-kes sivil dan jenayah di seluruh mahkamah di negeri Kelantan. Secara keseluruhannya, YAA Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara selaku Pengerusi Suruhanjaya berpuas hati dengan pencapaian Mahkamah Negeri Kelantan.