Interpretation of Statutes, 6 Mac 2020

Kursus “Interpretation of Statutes” telah diadakan pada 6 Mac 2020 (Jumaat) di Dewan Bankuet, Istana Kehakiman, Putrajaya. Objektif kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para Hakim serta Pesuruhjaya Kehakiman dalam pentafsiran statut.

Kursus ini telah dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi penyampaian ceramah oleh penceramah/fasilitator, perbincangan kumpulan bagi kajian kes dan pembentangan kajian kes. Sesi pertama kursus telah dimulakan dengan penyampaian ceramah berkaitan kursus ini oleh YA Puan Sri Dato’ Zaleha binti Yusof, Hakim Mahkamah Persekutuan. Manakala sesi kedua telah diteruskan dengan perbincangan kumpulan bagi tugasan kajian kes yang dikendalikan oleh YA Dato’ Umi Kalthum binti Abdul Majid, Hakim Mahkamah Rayuan. Setiap kumpulan ditugaskan untuk membentangkan dapatan hasil perbincangan masing-masing pada sesi ketiga kursus. Perbincangan antara para peserta dan barisan fasilitator susulan daripada hasil perbincangan tersebut dilakukan bagi memberikan kefahaman yang menyeluruh.

Seramai 23 orang peserta yang terdiri daripada 6 orang Hakim Mahkamah Tinggi dan 17 orang Pesuruhjaya Kehakiman telah menghadiri kursus ini. Program ini turut dihadiri oleh YAA Tan Sri Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara.