Criminal Law: Evidence and Procedure, 22-23 September 2017

Kursus “Criminal Law: Evidence and Procedure” telah diadakan pada 22-23 September 2017 (Jumaat-Sabtu) di Dewan Bankuet, Istana Kehakiman, Putrajaya. Objektif kursus ini adalah untuk menyediakan para Hakim/Pesuruhjaya Kehakiman dengan kefahaman yang menyeluruh berkenaan aspek-aspek yang melibatkan keterangan dan tatacara prosedur jenayah di dalam Kanun Acara Jenayah.

Kursus ini telah disertai oleh 23 orang peserta yang terdiri daripada 14 orang Hakim dan 9 orang Pesuruhjaya Kehakiman. Fasilitator-fasilitator kursus terdiri daripada YAA Tan Sri Datuk Wira Ahmad bin Haji Maarop, Hakim Besar Malaya, YA Tan Sri Azahar bin Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga merupakan Pengerusi Akademi Kehakiman dan YA Dato’ Tengku Maimun binti Tuan Mat, Hakim Mahkamah Rayuan.

Kursus ini telah dibahagikan kepada 2 sesi. Sesi pertama merupakan sesi pembentangan individu oleh 10 orang Hakim dan 4 orang Pesuruhjaya Kehakiman mengenai pelbagai topik berkaitan “Criminal Law: Evidence and Procedure” dengan setiap pembentang diberi masa selama 10 minit, diikuti dengan 15 minit perbincangan. Manakala pada sesi kedua, peserta kursus telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada 5 hingga 6 orang setiap kumpulan. Setiap kumpulan ditugaskan untuk membincangkan dua kajian kes dan seterusnya diminta membentangkan hasil kajian kes tersebut di akhir sesi dengan setiap kumpulan diberi masa selama 20 minit untuk pembentangan. Diskusi interaktif dan sesi soal jawab kelolaan para fasilitator kursus telah dilaksanakan di akhir setiap sesi bagi membolehkan para peserta mendapatkan pemahaman mendalaman mengenai topik dan kajian kes yang telah dibentangkan.