Program Ketua Hakim Negara bersama Hakim Mahkamah Tinggi/Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 23 Februari 2018

Pada hari Jumaat, 23 Februari 2018 telah diadakan Program Ketua Hakim Negara bersama Hakim Mahkamah Tinggi/Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertempat di Dewan Bankuet, Istana Kehakiman, Putrajaya. Program yang diadakan ini adalah merupakan inisiatif YAA Tun Raus Sharif, Ketua Hakim Negara bagi mengkaji pencapaian pelupusan kes pra-2016 dan seterusnya membincangkan sasaran pelupusan kes-kes seperti pra-2017 pada tahun 2018.

Pembentangan Statistik dan Pencapaian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Hakim-Hakim Pengurus telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian Sivil dan Jenayah serta Bahagian Dagang. YA Tan Sri Dato’ Sri Azahar bin Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan telah membentangkan pencapaian Bahagian Sivil dan Jenayah sementara YA Tan Sri Zaharah binti Ibrahim, Hakim Mahkamah Persekutuan telah membentangkan pencapaian Bahagian Dagang.

Seramai 20 orang Hakim Mahkamah Tinggi dan 6 orang Pesuruhjaya Kehakiman daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menghadiri program ini bagi mendapatkan maklum balas mengenai pencapaian prestasi masing-masing.