Conference on Applied Mediation (Zon Selatan) merupakan persidangan keempat dalam siri persidangan mediasi anjuran bersama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan. Persidangan ini diadakan bertujuan untuk melihat mediasi secara praktikal sebagai satu bentuk penyelesaian pertikaian alternatif yang ditawarkan oleh mahkamah kepada orang-orang yang bertikai. Ia dilaksanakan melalui mahkamah dan merupakan satu langkah penyelesaian pertikaian kes-kes sivil secara tidak formal, sukarela dan tertutup tanpa perlu melalui prosedur biasa di mahkamah. Kaedah ini didapati boleh mengurangkan perbalahan berbanding prosiding mahkamah, lebih tertutup dan sulit, menjimatkan masa dan kos serta semua pihak lebih berpuas hati.

Ia telah diadakan pada 8 – 10 Julai 2011 di Johor Bahru. Persidangan ini telah dihadiri oleh 31 orang peserta yang terdiri daripada:

(i)Enam (6) Hakim Mahkamah Tinggi; (ii)Satu (1) Pesuruhjaya Kehakiman; (iii)Tiga (3) Pengarah Mahkamah Negeri; (iv)Tujuh (7) Hakim Mahkamah Sesyen; (v)Tiga (3) Timbalan Pendaftar / Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah; dan (vi)Enam (6) Peguam Kanan Persekutuan / Peguam Persekutuan (Negeri) dari Jabatan Peguam Negara Johor, Melaka and Negeri Sembilan.

Penceramah yang dijemput mengendalikan persidangan kali ini juga adalah Hakim Kanan Gordon J. Low, Senior Judge of Utah State, United States dan dibantu oleh YA Datuk Wira Low Hop Bing, Hakim Mahkamah Rayuan. Kedua-dua mereka merupakan hakim-hakim yang mahir dalam bidang mediasi.