Kriteria Penilaian

1. Kriteria-kriteria Penilaian yang dicadangkan ini adalah berlandaskan pertimbangan kepentingan awam untuk meningkatkan kualiti sistem kehakiman di mana pemilihan hakim dan pesuruhjaya kehakiman amat baik dilaksanakan berdasarkan merit.

2. Kriteria-kriteria ini dirangka untuk memastikan mereka yang dicalonkan mempunyai kebolehan intelek, cekap dan kualiti peribadi yang membolehkan mereka menyelesaikan pertikaian dengan adil dan membuat keputusan hanya berdasarkan kepada fakta-fakta kes dan undang-undang semata-mata. Kriteria-kriteria ini perlu tepat dan terperinci dari segi maksud dan juga penggunaannya dalam proses pemilihan.

3. Kriteria-kriteria pemilihan ini boleh digunakan sebagai kriteria minimum dan penggunaan setiap satu kriteria itu mungkin berbeza mengikut pelantikan yang akan dipertimbangkan. Keperluan sesuatu jawatan itu mungkin memerlukan penekanan yang berbeza: Kemahiran yang diperlukan oleh seorang hakim perbicaraan adalah berbeza dengan seorang hakim rayuan. Ini adalah perkara lazim kecuali kriteria integriti di mana kepentingannya adalah merupakan sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

4. Berikut adalah kualiti-kualiti minima yang perlu bagi memastikan pencapaian prestasi cemerlang dalam melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman:

(i)   Integriti

(ii)  Pengetahuan dan Kebolehan Perundangan

(iii)  Pengalaman Profesional

(iv)  Pembawaan Kehakiman

(v)   Kerajinan

(vi)   Kesihatan

(vii)  Tanggungjawab Kewangan

(viii)  Perkhidmatan Awam

(ix)   Pandangan terhadap Isu-isu Awam

(x)   Kualiti-kualiti Khas yang Di ingini 

5. Pemilihan berdasarkan merit tidak boleh bergantung kepada kriteria-kriteria ini semata-mata. Prosedur yang digunakan juga adalah sama penting. Sememangnya maklumat guna sama umum semua calon untuk kegunaan SPK adalah mustahak dan tidak boleh diketepikan.

1.Integriti

(i) Integriti
(Kualiti ini adalah tidak boleh dipersoalkan)

Ia sewajarnya diberi perhatian sebagai teras utama kepada sistem kehakiman. Ini membolehkan seorang hakim membuat keputusan berdasarkan kepada fakta dan undang-undang semata-mata. Ia juga membolehkan seorang hakim untuk tidak mempedulikan pengaruh dan perkara-perkara luaran yang lain. Oleh itu kualiti ini harus dicari dengan lebih berhati-hati di dalam diri seorang calon. Seorang calon mesti jujur, benar dan berani serta bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan. Integriti juga dicerminkan dengan sifat berkecuali, keberanian moral, kejujuran intelek dan taat kepada undang-undang serta mempunyai tahap etika yang tinggi.

Penilaian terhadap keperibadian serta sikap profesionalisme seseorang calon sepatutnya menunjukkan pematuhan terhadap prinsip-prinsip ini.

2.Pengetahuan dan Kebolehan Perundangan

(ii) Pengetahuan dan Kebolehan Perundangan

Bagi memastikan prestasi cemerlang tugas seorang hakim, seorang calon perlu mempunyai tahap pengetahuan perundangan yang tinggi dari segi substantif dan prosedur serta boleh mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Seorang calon sepatutnya mempunyai kebolehan berkomunikasi dari kedua-dua aspek lisan dan tulisan terhadap alasan-alasannya yang membawa kepada sesuatu keputusan. Dalam hal ini, seorang calon diharap mampu mengawal diri yang mana menunjukkan bahawa dia mempunyai kebolehan untuk memahami isu-isu yang dikemukakan dan bertindak balas terhadap mereka dengan berkesan dan mampu membuat keputusan dengan cekap. 

3.Pengalaman Profesional

(iii) Pengalaman Profesional

Pengalaman profesional adalah merupakan apa jua pendedahan yang cukup bermakna dalam masalah perundangan dan proses kehakiman. Ini tidak semestinya merujuk secara khusus kepada pengamalan undang-undang di mahkamah sahaja. Walau bagaimanapun, pengalaman tersebut mestilah mencukupi untuk dijadikan asas penilaian terhadap pengalaman seseorang calon.

Walaupun pengalaman perbicaraan adalah sesuatu yang perlu, namun pengalaman undang-undang yang lain juga adalah relevan. Sebagai contoh, pengalaman bekerja dalam bidang perundangan dengan pihak kerajaan, korporat, badan-badan kepentingan awam, guru undang-undang serta penulis yang berjaya adalah berkaitan dan boleh menyumbang kepada pengamalan profesional yang diperlukan.

4.Pembawaan Kehakiman

(iv) Pembawaan Kehakiman

Kualiti ini pada umumnya dianggap sebagai kriteria penting bagi seorang hakim. Kualiti-kualiti pembawaan kehakiman adalah lahir daripada sifat semula jadi fungsi kehakiman itu sendiri. Memandangkan fungsi ini pada asasnya adalah berkaitan dengan penyelesaian konflik, maka ia memerlukan kebolehan berinteraksi dengan peguam, saksi-saksi serta pihak-pihak lain dengan adil, tenang, sabar dan berbudi serta kesudian mendengar dan mempertimbangkan semua maklumat yang dikemukakan. Sebagai seorang yang mempunyai kuasa pemutus, seorang hakim perlu mempunyai pembawaan yang seimbang, berfikiran terbuka, yakin dan tegas. Seorang hakim sepatutnya perlu memahami dan dapat menghargai semua topik dan isu yang dikemukakan, sama ada beliau sudah biasa ataupun belum mengenai perkara itu. Semua ini adalah merupakan kefahaman beliau terhadap kepentingan peranannya dalam pentadbiran keadilan dan hak-hak semua pihak dan oleh itu beliau perlu mengetepikan keinginan peribadinya dalam usaha untuk mencapai objektif-objektif tersebut.

Faktor-faktor yang tidak serasi dengan pembawaan kehakiman adalah sikap angkuh, tidak sabar, membesarkan diri dengan menunjuk-nunjuk, terlalu banyak berkata-kata, garang dan bersikap sembarangan.

5.Kerajinan

(v) Kerajinan

Seorang calon perlu mengambil berat dan berusaha mencapai apa-apa yang diceburinya. Kerajinan menggambarkan tabiat bekerja yang baik dan kebolehan menetapkan keutamaan dalam kerjanya.

Memandangkan had masa sesuatu prosedur amat penting bagi kerja-kerja mahkamah, seorang calon perlu mempunyai rekod ketepatan masa yang baik dan menghormati masa peguam-peguam lain, orang-orang yang terlibat dalam tindakan undang-undang dan pihak-pihak lain yang terlibat.

6.Kesihatan

(vi) Kesihatan

Ini supaya dapat mengenal pasti seorang calon itu tidak mempunyai masalah yang ketara (mental atau fizikal) yang mungkin menjejas kebolehannya melaksanakan tugas sebagai hakim yang adil dan berkecuali, termasuk apa-apa perlakuan yang pelik atau bercelaru atau ketagihan kepada alkohol atau dadah.

7.Tanggungjawab Kewangan

(vii) Tanggungjawab Kewangan

Tanggungjawab kewangan menunjukkan disiplin diri dan penting bagi meramalkan keupayaannya untuk bertahan terhadap tekanan yang mungkin menjejaskan sifat keberkecualiannya.

8.Perkhidmatan Awam

(viii) Perkhidmatan Awam

Seorang hakim dikehendaki supaya sensitif, belas kasihan dan bertimbang rasa. Penglibatan beliau dalam sektor awam boleh menunjukkan kesedaran sosialnya serta mempertimbangkan orang lain.

9.Pandangan terhadap Isu-isu Awam

(ix) Pandangan terhadap Isu-isu Awam

Pemilihan berdasarkan merit tidak semestinya mengetepikan seseorang itu daripada mendapat pertimbangan yang sewajarnya hanya kerana pendapat beliau mengenai isu-isu awam. Walau bagaimanapun, sekiranya pandangan tersebut menunjukkan beliau berfikiran mudah berprasangka, beliau mungkin tidak sesuai untuk jawatan kehakiman.

10.Kualiti-kualiti Khas yang Diingini

(x) Kualiti-kualiti Khas yang Diingini

Setiap peringkat mahkamah yang berlainan memerlukan hakim-hakim yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran khusus. Walaupun pengetahuan dan kemahiran khusus adalah sesuatu yang diingini, ia tidak bermakna calon-calon yang layak terlepas pandang. Sememangnya pengetahuan, pengalaman dan minat khusus dalam isu-isu kekeluargaan dan kanak-kanak memberi kelebihan tambahan sekiranya calon itu terlibat dengan kes-kes juvana. Untuk calon bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, disebabkan wujudnya proses membuat keputusan bersama, ia penting supaya calon itu memahami dan menghormati pendapat yang berbeza; juga pengalaman dalam kajian ilmiah dan penulisan berkaitan pembangunan undang-undang.