Lawatan dan Mesyuarat Anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan 12 Ogos 2015

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman telah mengadakan mesyuarat bulanannya Bilangan 8 Tahun 2015 di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan pada 12 Ogos 2015.

Di samping mesyuarat, Anggota Suruhanjaya telah mengadakan lawatan di beberapa tempat di kompleks mahkamah tersebut seperti Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi, bilik fail dan bilik seminar. Lawatan ini bertujuan untuk melihat usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh Mahkamah Negeri Sembilan dalam meningkatkan sistem penyampaian kepada pelanggan-pelanggan mahkamah.

 

Selepas sesi lawatan, Anggota Suruhanjaya telah diberi penerangan dan taklimat oleh YA Dato’ Zabariah binti Mohd. Yusof, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban dan Puan Hayatul Akmal binti Abdul Aziz, Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan mengenai penyelesaian kes-kes sivil dan jenayah di seluruh mahkamah di Negeri Sembilan. YAA Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara selaku Pengerusi Suruhanjaya berpuas hati dengan pencapaian Mahkamah Negeri Sembilan dalam melupuskan kes-kes yang telah didaftarkan dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan tersebut. Majoriti kes-kes yang ada di mahkamah Negeri Sembilan adalah kes-kes semasa iaitu kes-kes yang didaftar dalam tahun 2014 dan ke atas. SYABAS!

​Sebelum sesi lawatan dan taklimat, terlebih dahulu Anggota Suruhanjaya telah diperkenan mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Hinggap Seremban.