Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Bil. 11/2019 dan Program Outreach di Pulau Besar, Melaka 7 November 2019

Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Bil. 11/2019 telah diadakan pada 7 November 2019 (Khamis) di Kompleks Mahkamah Negeri Melaka. Mesyuarat ini telah dimulakan dengan Taklimat Prestasi dan Statistik Mahkamah Tinggi Negeri Melaka oleh YA Datuk Wira Haji Ahmad Nasfy bin Haji Yasin, Hakim Mahkamah Tinggi Melaka; dan Taklimat Prestasi dan Statistik Mahkamah Rendah Negeri Melaka oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Nasir bin Nordin, Pengarah Mahkamah-Mahkamah Negeri Melaka. YAA Tan Sri Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara yang juga merupakan Pengerusi Suruhanjaya berpuas hati dengan pembentangan statistik dan pencapaian Mahkamah Negeri Melaka. Program tersebut kemudiannya disusuli dengan sesi mesyuarat dan lawatan ke sekitar Kompleks Mahkamah Negeri Melaka.

Program keesokannya bersambung dengan Program Outreach di Pulau Besar, Melaka pada 8 November 2019 (Jumaat). Anggota-Anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman telah bertolak dengan menaiki bot dari Jeti Marina ke Pulau Besar pada jam 8.15 pagi. Setibanya di Pulau Besar, anggota-anggota suruhanjaya telah diberikan taklimat dan dibawa untuk melawat Muzium Pulau Besar serta seterusnya dibawa melawat sekitar Pulau Besar. Anggota-anggota suruhanjaya bertolak balik ke Jeti Marina pada jam 11.15 setelah program tersebut berakhir.