Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Serta Pembukaan Tahun Perundangan Sabah Dan Sarawak 2023 Di Miri, Sarawak

Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Bil. 1/2023 telah diadakan pada petang 13 Januari 2023 (Jumaat) di Waterfront 2, Aras 6, Pullman Miri Waterfront, Sarawak. Mesyuarat ini adalah mesyuarat bulanan yang pertama yang telah diadakan di luar daripada Putrajaya pada tahun 2023. Mesyuarat ini diadakan bersekali dengan “Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2023” yang diadakan pada sebelah pagi pada tarikh yang sama bertempat di Kompleks Mahkamah Miri, Sarawak. Satu perarakan yang bermula dari Pullman Miri Waterfront, Sarawak dan berakhir di Kompleks Mahkamah Miri, Sarawak telah diadakan bersempena dengan “Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2023”. Perarakan tersebut telah diketuai oleh YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara; YAA Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar bin Abang Hashim, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak; YA Dato’ Mohamad Zabidin bin Mohd Diah, Hakim Mahkamah Persekutuan; serta YA Dato’ Abdul Rahman bin Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan.