Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Bil. 1/2024 telah diadakan pada petang 19 Januari 2024 (Jumaat) di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, Sabah. Mesyuarat ini adalah mesyuarat bulanan yang pertama yang telah diadakan di luar daripada Putrajaya pada tahun 2024. Mesyuarat ini diadakan bersekali dengan “Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2024” yang diadakan pada sebelah pagi pada tarikh yang sama bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu. Satu perarakan yang bermula dari Dewan Hakka Sabah, Kota Kinabalu dan berakhir di SICC, Kota Kinabalu telah diadakan bersempena dengan “Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2024”. Perarakan tersebut telah diketuai oleh YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara; YAA Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar bin Abang Hashim, Presiden Mahkamah Rayuan; YAA Tan Sri Dato’ Mohamad Zabidin bin Mohd Diah, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya; serta YAA Tan Sri Dato’ Abdul Rahman bin Sebli, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.