International Trademark Association’s Workshop

Program “International Trademark Association’s Workshop” telah diadakan pada 26 November 2021 (Jumaat) di Dewan Bankuet, Istana Kehakiman, Putrajaya. Objektif kursus ini adalah untuk memberikan peserta-peserta pemahaman yang komprehensif mengenai isu-isu yang berkaitan dengan undang-undang tanda dagangan. Program ini merupakan program latihan kelima di bawah Akademi Kehakiman Malaysia pada tahun 2021 dan yang keempat dilaksanakan secara atas talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting. Pelaksanaan program yang dilakukan secara atas talian ini adalah untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 dengan semua penceramah dan para peserta telah hadir secara atas talian.

Program selama separuh hari ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara; Iris Gunther, Pengarah Penguatkuasaan Jenama dan Kemampanan, Persatuan Tanda Dagangan Antarabangsa (INTA); dan Seth Hays, Ketua Perwakilan Pejabat Asia Pasifik, Persatuan Tanda Dagangan Antarabangsa (INTA). Program kemudian diteruskan dengan bengkel yang telah dibahagikan kepada tiga sesi. Sesi pertama telah dikendalikan oleh YA Datuk Wong Kian Kheong, Hakim Mahkamah Tinggi yang telah bertindak sebagai moderator untuk sesi yang bertajuk “An Overview Over TMA 2019 – Changes to Malaysian TM Law and The International Perspective” yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Rohazar Wati binti Zuallcobley daripada Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA; dan Juan Rodriguez Guerra, Kaunselor Undang-Undang Kanan, Bahagian Undang-Undang Pendaftaran Madrid di Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), Switzerland. Manakala tajuk sesi kedua “Select Changes to The TMA in Comparison with Other Jurisdictions” telah disampaikan oleh Maxim Hristov, Peguam Undang-Undang, PETOSEVIC Bulgaria; dan Bob Kelson, Pengetua, Perundingan Paten dan Tanda Dagangan BK, Australia dengan YA Dato’ Mohd Radzi bin Harun, Hakim Mahkamah Tinggi sebagai moderator. YA Datuk Hanipah binti Farikullah, Hakim Mahkamah Rayuan telah mengendalikan sesi ketiga sebagai moderator untuk tajuk “Enforcement of IPR Against Online Violation” yang telah disampaikan oleh Andrej Stec, Penasihat, Mahkamah Agung Kesatuan Eropeah di Luxembourg; dan Cecilia Dou, Pengurus Penguatkuasaan IP Dalam Talian, Syarikat Apple China.