Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, 4 Ogos 2023

Kursus “Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952” telah diadakan pada 4 Ogos 2023 (Jumaat) di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, Putrajaya. Objektif kursus ini adalah untuk menyediakan pemahaman komprehensif aspek material undang-undang mengenai Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Program ini merupakan program latihan keempat di bawah Akademi Kehakiman Malaysia pada tahun 2023. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada empat orang Hakim Mahkamah Rayuan, dan 26 orang Pesuruhjaya Kehakiman telah menghadiri program ini.

Program selama satu hari ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman Malaysia. Program kemudian diteruskan dengan dua ceramah pada sesi pagi iaitu “Duty of Trial Judge at the End of the Case for the Prosecution and at the Conclusion of the Trial (Part 1)” yang disampaikan oleh YA Dato’ Zabariah binti Mohd. Yusof, Hakim Mahkamah Persekutuan, dan “Duty of Trial Judge at the End of the Case for the Prosecution and at the Conclusion of the Trial (Part 2)” yang disampaikan oleh YA Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Hakim Mahkamah Persekutuan. Manakala ceramah “Common Mistakes Made by a Trial Judge” disampaikan pada sesi petang oleh YA Dato’ Nordin bin Hassan, Hakim Mahkamah Persekutuan; dan YA Dato’ Hashim bin Hamzah, Hakim Mahkamah Rayuan.