Bengkel Kehakiman mengenai Undang-Undang dan Amalan Harta Intelek: Isu-Isu yang Muncul mengenai Undang-Undang Tanda Dagangan, 26 Oktober 2023

“Bengkel Kehakiman mengenai Undang-Undang dan Amalan Harta Intelek: Isu-Isu yang Muncul mengenai Undang-Undang Tanda Dagangan” telah diadakan pada 26 Oktober 2023 (Khamis) di Dewan Bankuet, Istana Kehakiman, Putrajaya. Objektif program ini adalah untuk memberikan peserta-peserta pemahaman yang menyeluruh mengenai isu-isu yang berkaitan dengan undang-undang tanda dagangan. Program ini telah dilaksanakan secara hibrid iaitu sebahagian peserta telah hadir secara fizikal manakala kebanyakan peserta yang lain telah hadir secara atas talian. Program ini dianjurkan secara kerjasama antara Akademi Kehakiman Malaysia dan Persatuan Tanda Dagangan Antarabangsa (INTA).

Program selama satu hari ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman Malaysia. Program kemudian diteruskan dengan sesi pertama yang telah dikendalikan oleh YA Tuan Mohamed Zaini bin Mazlan, Hakim Mahkamah Rayuan sebagai moderator untuk ceramah “Emerging Technologies and IP: AI, NFTs, Block Chain and its Relevance for an Impact on IPR” yang telah disampaikan oleh Dr. Stanley Lai daripada SC: Allen & Gledhill; dan Encik Bahari Yeow daripada RDS Law Partners. Sesi kedua telah diteruskan dengan ceramah “Bad Faith in Trademark Cases: Prosecution, Judicial Proceedings, Online Implications: INTA’s Board Resolution” yang telah disampaikan oleh Cik Iris Gunther, Pengarah Penguatkuasaan Jenama dan Kemampanan, INTA; dan Encik Nick Redfearn, Pengetua, Ketua Global Penguatkuasaan, Rouse-Jakarta. YA Tuan Azlan bin Sulaiman, Pesuruhjaya Kehakiman telah mengendalikan sesi ketiga sebagai moderator untuk ceramah “Case Discussion Bad Faith: Triple D Trading Pte. Ltd. v. Fanco Fan Marketing Pte. Ltd.” yang telah disampaikan oleh YA Justice Dedar Singh Gill, Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Agung Singapura. Sesi keempat pula telah dikendalikan oleh moderator YA Dato’ Dr. Choo Kah Sing, Hakim Mahkamah Rayuan bagi ceramah “IP Enforcement – Dynamic Blocking Injuctions – Process, Requirements, Case Examples” yang disampaikan oleh Dr. Nicolas Schmitz, Gruneker, Firma Guaman Munich, Germany; dan YA Justice Manmohan, Hakim Mahkamah Tinggi Delhi. Manakala sesi kelima yang terakhir dengan ceramah “Bad Faith International Comparison (Sky v. SkyKick)” telah disampaikan oleh YA Lord Justice Richard Arnold, Hakim Mahkamah Rayuan England dan Wales dengan YA Dato’ Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali, Hakim Mahkamah Rayuan berperanan sebagai moderator.