Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Bil. 5/2024 telah diadakan pada 27 Mei 2024 di Kompleks Mahkamah, Kota Bharu, Kelantan.
Antara tentatif mesyuarat ini ialah Pembentangan Statistik Mahkamah Tinggi Kota Bharu oleh YA Dato’ Azmi bin Abdullah, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu serta Pembentangan Statistik Mahkamah Rendah Kota Bharu oleh YBrs. Tuan Dazuki bin Ali, Pengarah Mahkamah Rendah Kota Bharu. Pembentangan tersebut dilakukan bagi memantau prestasi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Kota Bharu bagi meningkatkan kualiti, produktiviti serta penyampaian perkhidmatan.
Selain pelaksanaan mesyuarat, anggota suruhanjaya juga terlibat dalam lawatan kerja ke Istana Jahar, Kota Bharu. Lawatan ini telah diketuai oleh YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara. Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan Anggota Suruhanjaya berkenaan dengan sejarah kesultanan yang menjadi lambang keunikan budaya dan sejarah warisan daripada aspek masyarakat Melayu Kelantan.
Pada waktu petang, Program Outreach di negeri Kelantan dimulai dengan lawatan ke Pusat Perusahaan Batik dan Songket Asni yang terletak di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. Tujuan lawatan adalah bagi memberi pendedahan tentang kepentingan perusahaan batik kepada ekonomi penduduk setempat.
Program diteruskan dengan penglibatan anggota suruhanjaya yang dibawa ke Pasir Belanda Resort iaitu tempat demonstrasi pembuatan wau, permainan tradisional gasing dan juga pertunjukan Seni Kelingkan Emas. Aktiviti-aktiviti ini diperkenalkan kepada Anggota Suruhanjaya untuk mengetahui mengenai pemuliharaan nilai-nilai tradisi warisan budaya dan identiti tempatan dalam memberi manfaat dalam pembelajaran serta perkembangan sosial.