Ia sewajarnya diberi perhatian sebagai teras utama kepada sistem kehakiman. Ini membolehkan seorang hakim membuat keputusan berdasarkan kepada fakta dan undang-undang semata-mata. Ia juga membolehkan seorang hakim untuk tidak mempedulikan pengaruh dan perkara-perkara luaran yang lain. Oleh itu kualiti ini harus dicari dengan lebih berhati-hati di dalam diri seorang calon. Seorang calon mesti jujur, benar dan berani serta bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan. Integriti juga dicerminkan dengan sifat berkecuali, keberanian moral, kejujuran intelek dan taat kepada undang-undang serta mempunyai tahap etika yang tinggi.
Penilaian terhadap keperibadian serta sikap profesionalisme seseorang calon sepatutnya menunjukkan pematuhan terhadap prinsip-prinsip ini.
Bagi memastikan prestasi cemerlang tugas seorang hakim, seorang calon perlu mempunyai tahap pengetahuan perundangan yang tinggi dari segi substantif dan prosedur serta boleh mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Seorang calon sepatutnya mempunyai kebolehan berkomunikasi dari kedua-dua aspek lisan dan tulisan terhadap alasan-alasannya yang membawa kepada sesuatu keputusan. Dalam hal ini, seorang calon diharap mampu mengawal diri yang mana menunjukkan bahawa dia mempunyai kebolehan untuk memahami isu-isu yang dikemukakan dan bertindak balas terhadap mereka dengan berkesan dan mampu membuat keputusan dengan cekap.
Pengalaman profesional adalah merupakan apa jua pendedahan yang cukup bermakna dalam masalah perundangan dan proses kehakiman. Ini tidak semestinya merujuk secara khusus kepada pengamalan undang-undang di mahkamah sahaja. Walau bagaimanapun, pengalaman tersebut mestilah mencukupi untuk dijadikan asas penilaian terhadap pengalaman seseorang calon.
Walaupun pengalaman perbicaraan adalah sesuatu yang perlu, namun pengalaman undang-undang yang lain juga adalah relevan. Sebagai contoh, pengalaman bekerja dalam bidang perundangan dengan pihak kerajaan, korporat, badan-badan kepentingan awam, guru undang-undang serta penulis yang berjaya adalah berkaitan dan boleh menyumbang kepada pengamalan profesional yang diperlukan.
Kualiti ini pada umumnya dianggap sebagai kriteria penting bagi seorang hakim. Kualiti-kualiti pembawaan kehakiman adalah lahir daripada sifat semula jadi fungsi kehakiman itu sendiri. Memandangkan fungsi ini pada asasnya adalah berkaitan dengan penyelesaian konflik, maka ia memerlukan kebolehan berinteraksi dengan peguam, saksi-saksi serta pihak-pihak lain dengan adil, tenang, sabar dan berbudi serta kesudian mendengar dan mempertimbangkan semua maklumat yang dikemukakan. Sebagai seorang yang mempunyai kuasa pemutus, seorang hakim perlu mempunyai pembawaan yang seimbang, berfikiran terbuka, yakin dan tegas.
Seorang hakim sepatutnya perlu memahami dan dapat menghargai semua topik dan isu yang dikemukakan, sama ada beliau sudah biasa ataupun belum mengenai perkara itu. Semua ini adalah merupakan kefahaman beliau terhadap kepentingan peranannya dalam pentadbiran keadilan dan hak-hak semua pihak dan oleh itu beliau perlu mengetepikan keinginan peribadinya dalam usaha untuk mencapai objektif-objektif tersebut.
Faktor-faktor yang tidak serasi dengan pembawaan kehakiman adalah sikap angkuh, tidak sabar, membesarkan diri dengan menunjuk-nunjuk, terlalu banyak berkata-kata, garang dan bersikap sembarangan.
Seorang calon perlu mengambil berat dan berusaha mencapai apa-apa yang diceburinya. Kerajinan menggambarkan tabiat bekerja yang baik dan kebolehan menetapkan keutamaan dalam kerjanya.
Memandangkan had masa sesuatu prosedur amat penting bagi kerja-kerja mahkamah, seorang calon perlu mempunyai rekod ketepatan masa yang baik dan menghormati masa peguam-peguam lain, orang-orang yang terlibat dalam tindakan undang-undang dan pihak-pihak lain yang terlibat.
Ini supaya dapat mengenal pasti seorang calon itu tidak mempunyai masalah yang ketara (mental atau fizikal) yang mungkin menjejas kebolehannya melaksanakan tugas sebagai hakim yang adil dan berkecuali, termasuk apa-apa perlakuan yang pelik atau bercelaru atau ketagihan kepada alkohol atau dadah.
Tanggungjawab kewangan menunjukkan disiplin diri dan penting bagi meramalkan keupayaannya untuk bertahan terhadap tekanan yang mungkin menjejaskan sifat keberkecualiannya.
Seorang hakim dikehendaki supaya sensitif, belas kasihan dan bertimbang rasa. Penglibatan beliau dalam sektor awam boleh menunjukkan kesedaran sosialnya serta mempertimbangkan orang lain
Pemilihan berdasarkan merit tidak semestinya mengetepikan seseorang itu daripada mendapat pertimbangan yang sewajarnya hanya kerana pendapat beliau mengenai isu-isu awam. Walau bagaimanapun, sekiranya pandangan tersebut menunjukkan beliau berfikiran mudah berprasangka, beliau mungkin tidak sesuai untuk jawatan kehakiman.
Setiap peringkat mahkamah yang berlainan memerlukan hakim-hakim yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran khusus. Walaupun pengetahuan dan kemahiran khusus adalah sesuatu yang diingini, ia tidak bermakna calon-calon yang layak terlepas pandang. Sememangnya pengetahuan, pengalaman dan minat khusus dalam isu-isu kekeluargaan dan kanak-kanak memberi kelebihan tambahan sekiranya calon itu terlibat dengan kes-kes juvana. Untuk calon bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, disebabkan wujudnya proses membuat keputusan bersama, ia penting supaya calon itu memahami dan menghormati pendapat yang berbeza; juga pengalaman dalam kajian ilmiah dan penulisan berkaitan pembangunan undang-undang.