“CACJ Workshop on New Frontiers of Judicial Case Management and Best Practices” telah diadakan pada 11 Jun 2024 (Isnin) di Dewan Gateway B, Hotel Sama-Sama, KLIA. Program ini bertujuan untuk menangani cabaran kolektif yang dihadapi dan menyusun strategi ke hadapan berkenaan pengurusan kes.
Seramai 29 orang peserta daripada Malaysia telah menghadiri program ini yang terdiri daripada 17 orang Hakim Mahkamah Tinggi dan 12 orang Pesuruhjaya Kehakiman, selain kehadiran peserta daripada negara ASEAN iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina dan Thailand.
Program satu hari ini telah dibahagikan kepada empat sesi ceramah yang diperuntukkan masa selama satu jam untuk setiap sesi bagi sesi pertama, kedua dan ketiga, manakala dua jam bagi sesi keempat. Sesi pertama ceramah bertajuk “Pre-Trial and Post-Trial Case Management in Commercial and Civil Cases” telah disampaikan oleh YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman; dan YA Datuk Vazeer Alam bin Mydin Meera, Hakim Mahkamah Persekutuan. Bagi sesi kedua, ceramah bertajuk “Case Management in Criminal Cases” telah disampaikan oleh YA Dato’ Nordin bin Hassan, Hakim Mahkamah Persekutuan. YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim sekali lagi menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk “Appellate Case Management” di sesi ketiga. Seterusnya YA Dato’ Lim Chong Fong, Hakim Mahkamah Rayuan; dan YA Dato’ Ahmad Fairuz bin Zainol Abidin, Hakim Mahkamah Tinggi telah menyampaikan ceramah “The Future of Case Management in Litigation” di sesi keempat.