Langkau ke kandungan utama

Kursus “The Evolving Landscape of Capital Markets Regulation” telah diadakan pada 15 Oktober 2024 di Hotel Sama-Sama, KLIA, Sepang, Selangor. Objektif kursus ini adalah untuk menyediakan peserta-peserta dengan pemahaman yang komprehensif mengenai rangka kerja kawal selia yang dinamik dan berkembang yang mengawal pasaran modal. Kursus ini dianjurkan secara kerjasama antara Akademi Kehakiman Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Kursus selama satu hari ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Dato’ Mohammad Faiz Azmi, Pengerusi Eksekutif, SC. Kursus kemudian telah diteruskan dengan lima sesi ceramah pada sebelah pagi. Kursus ini terdiri daripada ceramah-ceramah yang bertajuk “Gambaran Keseluruhan SC: Sejarah, Peranan dan Fungsi-Fungsi” yang telah disampaikan oleh YBrs. Puan Yew Yee Tee, Pengarah Eksekutif dan Penasihat Am, SC; “Rangka Kerja Kawal Selia SC” yang telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Anil Joshi Hari Chand, Timbalan Pengarah dan Ketua Pembaharuan Undang-Undang, SC; “Kemunculan Tren dalam Pelanggaran Pasaran Modal” yang telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Jawahar Ali Ameer Ali, Pengurus Besar serta Ketua Pejabat Pengguna dan Pelaburan, SC; “Pengenalan ke atas Aset-Aset Digital dan Pertukaran Aset Digital yang Dikawal Selia oleh SC” yang telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Wong Huei Ching, Pengarah Eksekutif, Strategi Digital dan Inovasi, SC; serta “Peranan Pengawal Selia dalam Kawal Selia Pertukaran Aset Digital yang Dikawal Selia oleh SC” yang telah disampaikan oleh YBrs. Puan Nurfazrina binti Daing Abdul Rahman, Timbalan Pengurus Besar, Institut Kawal Selia, SC.

Manakala pada sebelah petang, kursus telah diteruskan dengan Diskusi Panel “Peranan Mahkamah dan Pengawal Selia dalam Memastikan Integriti Pasaran: Isu-Isu Kontemporari dan Cabaran-Cabaran” yang dikendalikan oleh YBrs. Tuan Budiman Lutfi Mohamed, Pengarah Penguatkuasaan, SC. Panel-panel bagi Diskusi Panel tersebut adalah YA Datuk Wong Kian Kheong, Hakim Mahkamah Rayuan; YA Puan Roz Mawar binti Rozain, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur; YBrs. Puan Shoba Venu Gobal, Pengurus Besar serta Ketua Pendakwaan dan Penguatkuasaan Sivil, SC; dan YBrs. Puan Noraiza binti Kamarudin, Pengurus Besar dan Ketua Penyiasatan, SC. YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman Malaysia telah menyampaikan ucapan penutup di akhir kursus.

Seramai 65 orang peserta telah menghadiri kursus ini yang termasuk YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara; empat orang Hakim Mahkamah Persekutuan; enam orang Hakim Mahkamah Rayuan; 32 orang Hakim Mahkamah Tinggi; dan 22 orang Pesuruhjaya Kehakiman.

Peta Lokasi

Recent Posts