“Lawatan Kerja Badan Kehakiman ke Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024” telah diadakan pada 7 Oktober 2024 (Isnin) di Maktab PDRM dan Makmal Forensik PDRM, Cheras, Selangor. Objektif lawatan kerja ini adalah untuk mendedahkan Badan Kehakiman terhadap peranan dan fungsi Makmal Forensik PDRM.
Seramai 40 orang peserta telah menghadiri lawatan kerja ini yang terdiri daripada YAA Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar bin Abang Hashim, Presiden Mahkamah Rayuan; YAA Tan Sri Abdul Rahman bin Sebli, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak; tujuh orang Hakim Mahkamah Persekutuan; lapan orang Hakim Mahkamah Rayuan; serta 23 orang Hakim Mahkamah Tinggi.
Lawatan kerja separuh hari ini telah dimulakan dengan ucapan pembukaan perasmian oleh YDH IG Tan Sri Razarudin bin Husain, Ketua Polis Negara dan ucapan balas oleh YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman. Kemudian, semua peserta telah diberikan taklimat sebelum bergerak melawat Makmal Forensik PDRM. Para peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang mana setiap kumpulan secara pusingan telah melawat tiga sekyen dan satu bahagian di Makmal Forensik PDRM yang terdiri daripada Seksyen Fizikal, Seksyen Narkotik, Seksyen Kimia serta Bahagian D13 (Bahagian DNA). Semua peserta telah diberi penerangan ringkas mengenai peranan, fungsi dan cabaran yang dihadapi oleh setiap Seksyen dan Bahagian yang dilawati tersebut.