“Program Judgecraft untuk Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Kehakiman yang Baharu” telah diadakan pada 20 September 2024 (Jumaat) di Bilik Mesyuarat Utama, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Istana Kehakiman, Putrajaya. Objektif kursus ini adalah sebagai pengenalan judgecraft kepada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Kehakiman yang baharu dilantik.
Seramai tiga orang peserta yang baharu dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman telah menghadiri kursus ini iaitu YA Tuan Eddie Yeo Soon Chye, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur; YA Tuan Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur; dan YA Puan Elaine Yap Chin Gaik, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Kursus selama setengah hari ini telah dimulakan dengan kata alu-aluan oleh YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman. Kursus ini telah dilaksanakan dalam bentuk ceramah pembentangan slaid Powerpoint, perbincangan fasilitator-fasilitator bersama para peserta dan sesi soal-jawab. Sepanjang kursus ini, fasilitator-fasilitator telah memberi input dan berkongsi pengalaman dengan para peserta supaya pemahaman mengenai topik judgecraft menjadi lebih jelas.
YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim bersama dua orang Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman iaitu YA Dato’ Nordin bin Hassan dan YA Datuk Vazeer Alam bin Mydin Meera telah berperanan sebagai fasilitator-fasilitator dalam kursus ini. Sebanyak dua ceramah telah disampaikan oleh para fasilitator dalam kursus ini iaitu “Judgecraft (How to Conduct Cases in Open Court/Chambers Writing Grounds of Judgment)” dan “Pengurusan Kes/Mediasi”. Manakala ceramah “Akta Saraan Hakim” telah disampaikan oleh pihak Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia.